Sunday, August 30, 2009

Generasi Muda Lebih Gemarkan Berita Dalam Talian

Ianya adalah perkara yang nyata bahawa generasi muda di masa kini lebih menggemari berita dalam talian berbanding berita yang disiarkan oleh berita arus perdana. Mengapa perkara ini terjadi? Apakah faktor yang menyebabkan generasi muda lebih menggemari berita dalam talian? Perkara ini dilihat makin jelas kerana ramai generasi muda yang lebih cenderung untuk mencari sumber berita di dalam laman-laman web berbanding akhbar-akhbar yang banyak dijual di merata-rata tempat.

Pertama sekali, adakah kita faham apa itu berita dalam talian? Berita dalam talian ialah berita yang disiarkan menerusi laman web yang penggunaannya semakin meluas. Ianya adalah sesuatu yang bukan lagi asing bagi kita malah ia seperti telah menjadi sesuatu yang kita perlukan untuk memudahkan perjalanan hidup kita di masa kini. Generasi muda seperti golongan pelajar boleh dikatakan amat bergantung kepada kemudahan internet untuk menyiapkan tugasan yang diberikan kepada mereka.

Sewaktu sedang menulis rencana ini, saya didatangi oleh seorang sahabat dan die bertanyakan kepada saya tentang akhbar dalam talian yang manakah dia patut baca. Dia merupakan salah seorang daripada generasi muda yang memilih untuk membaca berita dalam talian kerana dan pertanyaan dia membuatkan saya lebih yakin bahawa generasi muda lebih senang untuk membaca berita dalam talian berbanding berita daripada akhbar media cetak.

Perkara yang boleh dianggap berjaya menarik minat generasi muda untuk membaca berita dalam talian ialah berita tersebut percuma. Mendengar perkataan percuma itu saja sudah cukup untuk menarik minat kita terhadap sesuatu. Siapa yang tidak mahu memiliki sesuatu secara percuma? Mengapa bazirkan wang sebanyak RM1.00, RM1.20 atau RM1.50 untuk membeli sesuatu yang boleh kita dapat secara percuma? Persoalan tersebut saja sudah mampu membuatkan generasi muda menggemari berita dalam talian.

Media cetak dilihat tidak mampu menyaingi berita dalam talian dari segi kecepatan menyiarkan berita. Kejadian-kejadian yang berlaku hanya boleh disiarkan di dalam akhbar selepas sehari kejadian itu berlaku. Perkara ini merupakan salah satu kelemahan yang terdapat pada akhbar. Ianya sangat berbeza berbanding dengan berita yang disiarkan dalam talian. Sebarang kejadian yang berlaku dapat disiarkan dalam masa yang sangat singkat tanpa perlu menunngu sehingga keesokan harinya.

Berita yang disiarkan di dalam media cetak jika dibandingkan dengan berita yang disiarkan di dalam talian adalah ketinggalan dari segi masa. Sebab itu saja sudah mencukupi untuk menyebabkan generasi masa kini memilih berita dalam talian sebagai sumber utama berita. Berita yang masih baru adalah sangat dititikberatkan oleh mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan isu-isu semasa. Berita dalam talian boleh ditulis dan disiarkan di laman-laman web yang menyediakan perkhidmatan berita bila-bila masa sahaja.

Berbanding akhbar yang menggunakan gambar-gambar untuk menunjukkan sesuatu perkara yang berlaku, penggunaan video di dalam berita dalam talian lebih menarik minat generasi muda untuk membaca berita, ataupun dengan lebih tepat lagi dalam hal ini, membaca dan menonton berita. Visual yang dipaparkan lebih berupaya menggambarkan situasi yang sebenar kerana gambar yang disiarkan diiringi dengan bunyi yang menghidupkan lagi situasi yang sedang dipaparkan.

Tidak dapat dinafikan bahawa penulisan yang baik mampu membuatkan seorang pembaca untuk membayangkan sesuatu yang cuba disampaikan tetapi ianya masih tidak mencukupi untuk menyaingi penggunaan video yang semakin meluas. Bayangkan saja, keadaan hutan yang tenang dan menghijau hanyalah sekadar bayangan sahaja jika digambarkan dengan penulisan semata-mata. Berbeza pula jika ianya ditunjukkan dengan jelas dengan penggunaan video. Kita dapat melihat sendiri keindahan yang cuba disampaikan tersebut.

Satu lagi faktor yang mungkin menyebabkan generasi muda lebih gemarkan berita dalam talian ialah mereka dilahirkan di dalam era teknologi yang sedang berkembang dengan pesat. Mereka telah berdepan dengan situasi dimana mereka perlu menggunakan teknologi-teknologi tersebut untuk menjalankan kehidupan mereka. Television, telefon, komputer dan pelbagai lagi teknologi canggih terdapat disekeliling mereka sejak kecil dan mereka menjadi lebih selesa malah bagai dimanjakan dengan kehadiran alatan-alatan tersebut.

Teknologi-teknologi tersebut turut memudahkan generasi muda untuk membaca berita kerana ianya boleh dilakukan dimana-mana sahaja. Mereka tidak perlu lagi membawa surat khabar bersama-sama mereka sepanjang masa kerana ianya danggap sebagai sesuatu yang leceh. Telefon bimbit yang wujud hari ini, sebagai contoh, iphone, merupakan salah satu daripada pelbagai medium yang boleh digunakan untuk mendapatkan berita. Ianya lebih mudah untuk dibawa kemana-mana kerana saiznya yang kecil dan mempunyai lebih banyaa fungsi jika dibandingkan dengan surat khabar.

Syarikat-syarikat ahkbar arus perdana menyedari hal ini dan mereka telah melakukan inisiatif supaya tidak ketinggalan dalam mendapatkan pembaca bagi akhbar mereka. Syarikat-syarikat akhbar terkemuka seperti The Star, Utusan Malaysia, Berita Harian dan lain-lain telah pun menyediakan khidmat berita dalam talian. Keputusan tersebut boleh dianggap bijak kerana telah sedia maklum bahawa kebanyakan orang terutama generasi muda lebih menggemari berita dalam talian.

Menggunakan perkhidmatan internet dianggap lebih mudah untuk digunakan berbanding surat khabar menurut sesetengah generasi muda. Hanya perlu klik pada butang-butang tertentu saja sudah dapat membaca berita yang dikehendaki tanpa perlu mencari dengan cara membelek helaian demi helaian kertas akhbar tersebut. Cara penggunaan yang ringkas ini sedikit sebanyak menarik minat generasi muda untuk membaca berita dalam talian.

Begitu banyak sebab yang membuatkan generasi muda menggemari berita dalam talian dan perkara ini dilihat sebagai sesuatu yang akan kekal untuk masa yang akan datang. Perkara ini perlulah diawasi kerana penggunaan internet kadang kala mampu mengubah cara kita berfikir dan terdapat bahaya disebalik perkara tersebut. Mereka yang menulis berita haruslah sentiasa mengingatkan diri mereka bahawa hasil penulisan yang tidak baik mampu menjahanamkan kita.

No comments:

Post a Comment